Hee Loy Sian berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Petaling Jaya Selatan 2019 di Dewan MBPJ Jalan PJS 3/14 Taman Medan, Petaling Jaya hari ini. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Segera tunai janji kepada rakyat

PETALING JAYA, 8 SEPT: Kerajaan Pusat perlu segera menunaikan janji yang ditawarkan kepada rakyat pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.

Timbalan Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Hee Loy Sian berkata, rakyat ketika ini muak dengan pimpinan yang hanya berpolitik tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanji untuk mereka.

“Jika janji subsidi minyak untuk golongan B40 cepat buat, janji hapuskan tol cepat buat.

“Jangan bagi rakyat tertunggu-tunggu. Kerajaan Pusat kena buat cepat. Kurangkan berpolitik, rakyat sudah muak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Petaling Jaya Selatan 2019, di Dewan MBPJ, Taman Medan, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian yang juga Ketua Cabang Petaling Jaya Selatan berkata, Malaysia perlu melangkah ke hadapan dan meninggalkan isu yang boleh menggugat keamanan sesuatu kaum.

Katanya, tiada mana-mana kaum yang mahu mencabar atau menggugat Islam dan Bumiputera.

“Kita ada isu serius iaitu ekonomi. Gaji yang tinggi diperlukan rakyat, atasi kemiskinan bandar dan beri peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Bukan isu agama atau perkauman yang dibangkitkan oleh pihak lawan. Di Malaysia tiada ruang lebar bincang isu perkauman.

“Negara lain langkah ke depan tapi kita masih membangkitkan isu lama iaitu perkauman,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan semua pihak dapat memfokuskan isu utama bagi memulihkan ekonomi negara ketika ini.


Pengarang :