Keadaan jerebu yang merebak ke Perak pada 17 September 2019. Foto Facebook Perak Today
AGENDANASIONAL

Sekolah di Negeri Sembilan, Perak dibuka semula esok

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Semua sekolah di Negeri Sembilan dan Perak dibuka semula dan beroperasi seperti biasa esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-kedua negeri berkenaan menunjukkan pengurangan dari bacaan 200 sehingga 5 petang hari ini.

Menurut Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini, sebanyak 2,649 buah sekolah di Selangor (939), Putrajaya (25), Kuala Lumpur (296), Pulau Pinang (399) dan Sarawak (987) ditutup esok yang membabitkan 1,715,274 pelajar berikutan keadaan jerebu yang sedang melanda negara.

“Pihak sekolah turut diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Bagi mengetahui senarai penuh sekolah yang terlibat dengan penutupan akibat jerebu, boleh melayari portal KPM di www.moe.gov.my atau di saluran media sosial rasmi KPM (Facebook / Instagram / Twitter) @kempendidikan.

-BERNAMA


Pengarang :