Pemandangan bandar Klang yang berjerebu dan dirakam dari bangunan Majlis Perbandaran Klang. Foto ASRI SAPFIE/ SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sekolah di Selangor ditutup jika IPU cecah 200

SHAH ALAM, 10 SEPT: Kerajaan Negeri akan memberi arahan agar sekolah di negeri ini ditutup sekiranya Indeks Pencemaran Udara Udara (IPU) mencecah bacaan 200.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya masih memantau keadaan perkembangan jerebu di seluruh negeri dan setakat ini belum ada arahan cuti dikeluarkan.

Beliau berkata, urusan berkaitan jerebu di negeri ini berada di bawah kelolaan Unit Kawalan Bencana Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri akan mengikut perkembangan selanjutnya.

“Cuti buat masa ini belum lagi cuma kita nasihatkan orang awam dan rakyat Selangor supaya dapat elakkan sebarang aktiviti di luar rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Dialog Bajet 2020 Pemberdayaan Ekonomi Ke Arah ‘Selangor Maju Bersama’ di Hotel Concorde di sini.

Amirudin berkata, pihaknya juga turut meminta bantuan polis untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran secara terbuka.

“Perkara ini adalah masalah yang berlarutan. Sebelum ini, di Sepang kita sudah kawal dan berjaya tangani.

“Kali ini kita kena tengok di Johan Setia berikutan ia melibatkan tanah gambut dan pembakaran berlaku dengan cepat sehingga sukar dikawal,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan, sebanyak 28 kes pembakaran terbuka yang dikesan di sekitar Johan Setia sedang disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bagi tindakan penguatkuasaan kepada pelakunya.


Pengarang :