Amirudin Shari bersalaman dengan Leung Chun Ying pada sesi Dialog Bersama The Hong Kong Chinese Importers & Exporters Association (HKCIEA) di Hotel Concorde, Shah Alam pada 10 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Sektor perkilangan jana nilai pelaburan RM6 bilion di Selangor

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor terus mencatat prestasi ekonomi terbaik apabila sektor perkilangannya menjana nilai pelaburan berjumlah RM6 bilion bagi tempoh setengah tahun pertama kewangan 2019, berakhir 30 Jun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rekod itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang hanya mencatat sejumlah RM3.8 bilion nilai pelaburan.

“Dengan kata lain, kita berada di landasan untuk mencapai hasil dua digit menjelang penghujung tahun ini yang diramalkan secara sederhana dan konservatif berjumlah RM10 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor dengan The Hong Kong Chinese Importers and Exporters Association (HKCIEA), di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Politik Rakyat Cina (CPPCC), Leung Chun Ying serta delegasi-delegasi HKCIEA.

Amirudin berkata, pelaburan langsung domestik dan asing adalah aspek terpenting dalam kejayaan pelaburan di Selangor selepas berjaya menarik pelaburan bernilai RM210.6 bilion menerusi lebih 7,900 projek pembuatan sejak tahun 1987.

Seiring dengan pretasi ekonomi yang sangat positif itu, katanya, ia sekali gus mampu mewujudkan lebih 700,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Menurut statistik pelaburan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tahun 2018, angka itu melebihi jangkaan apabila pelaburan bernilai RM18.9 bilion dibawa masuk ke Selangor, yang juga menunjukkan pertumbuhan sebanyak 239 peratus dari tahun sebelum ini.

“Ini juga adalah pelaburan tertinggi yang diterima dalam tempoh setahun sepanjang 25 tahun yang lalu, malahan rekod pencapaian mengagumkan ini menjadi testimoni hebat bagi Selangor untuk terus kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa bangga apabila Hong Kong Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) menduduki tempat ketiga dalam kalangan negara penyumbang dengan nilai pelaburan sebanyak RM945.40 bilion (USD 225.44 bilion).


Pengarang :