AGENDANASIONAL

Sektor swasta harus ke hadapan untuk galak perpaduan

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Sektor swasta harus masukkan aspek perpaduan dalam kegiatan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mereka jalankan bagi membantu mempromosikan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini, kami kata pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee berkata, tiada tanggungjawab sosial yang lebih besar daripada memastikan negara berjaya dalam usaha menyatukan pelbagai komuniti yang membentuk masyarakat negara ini.

“Berdasarkan pengamatan saya, tidak banyak dilakukan oleh sektor korporat sebagai contoh, untuk mempromosikan perpaduan atau membantu masyarakat madani memainkan peranan mereka dalam memupuk perpaduan negara.

“Jika sektor korporat boleh melangkah ke hadapan untuk membantu masyarakat madani dalam soal perpaduan negara, ia merupakan pelaburan secara langsung terhadap kestabilan negara yang mana ini penting untuk perniagaan dan ekonomi berkembang,” katanya semasa menyampaikan ucapan mengenai perpaduan pada majlis makan tengah hari anjuran Prudential BSN di sini, hari ini.

Beliau menambah tidak dinafikan bahawa sektor korporat telah membuat sumbangan yang signifikan dalam permasalahan sosial seperti alam sekitar, pendidikan dalam penjagaan kesihatan serta membantu golongan tidak bernasib baik, namun lebih banyak yang dilakukan dalam soal perpaduan.

“Perpaduan nasional adalah satu bidang di mana kedaulatan itu harus dilaksanakan oleh rakyat Malaysia secara total dalam menentukan hal tuju negara. Sungguhpun ekonomi, sains dan teknologi maklumat merupakan faktor penggerak dalam era sekarang dan akan datang, namun kita tidak harus melupakan soal keharmonian sosial dan perpaduan,” katanya.

Lee berkata, adalah penting untuk memberi penekanan kepada sokongan daripada sektor swasta tempatan kerana pembiayaan asing untuk program perpaduan tidak digalakkan demi kepentingan negara secara keseluruhan.

“Salah satu cara yang paling berkesan bagi sektor korporat dalam mengutamakan perpaduan adalah dengan memberikan sokongan kewangan kepada usaha tulen oleh kumpulan warganegara untuk mempromosikan dan meningkatkan perpaduan negara.

“Sebagai balasan, kerajaan dan masyarakat harus memberi ganjaran dan penghormatan kepada syarikat swasta yang membuktikan menerusi amalan bahawa mereka benar-benar komited untuk perpaduan negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :