AGENSISELANGOR

Selangor bakal hantar lebih ramai pelajar ke Universiti Al-Azhar

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Selangor bakal menambah jumlah pelajar negeri ini untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menurutnya, beliau meluahkan hasrat itu ketika mengadakan sesi lawatan kerjanya ke universiti berkenaan yang disambut Timbalan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Saleh Abbas.

Amirudin berkata, Sheikh Saleh Abbas turut memuji imej pelajar Malaysia yang sentiasa menunjukkan nilai serta moral yang baik sepanjang belajar di institusi pengajian yang terkenal di Timur Tengah itu.

“Sheikh Saleh Abbas dalam ucapannya juga memberitahu, Malaysia adalah negara aman yang sentiasa bertoleransi sekali gus menjadi negara contoh yang berjaya menghimpunkan kepelbagaian kaum.

“Justeru, sebagai negeri paling maju di Malaysia, saya berkeyakinan penuh bahawa Selangor menjadi negara pemain serantau di Asia Tenggara.

“Kerajaan Negeri menggabungkan kemajuan ekonomi dengan nilai kemanusiaaan yang harmoni membolehkan kita menggapai matlamat Negeri Pintar di ASEAN menjelang 2025,” tulisnya dalam hantaran di laman facebooknya, hari ini.

Minggu lalu, Amirudin mengetuai delegasi Selangor ke Mesir. Semasa di Mesir Menteri Besar turut berkunjung ke Pejabat Majis Amanah Rakyat di Alexandria di negara itu.

Turut sama dalam delegasi itu ialah Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni yang juga pembantu EXCO Agama.


Pengarang :