Foto FACEBOOK FAM
AGENDASUKANKINI

Selangor juara Malaysia Premier Futsal League 2019

SHAH ALAM, 22 SEPT: Selangor muncul juara Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019 selepas pencabar terdekat, Pahang sekadar mencatatkan keputusan seri 3-3 menentang Perak semalam.

Keputusan itu meranapkan impian Pahang untuk mencabar Selangor yang mengesahkan kejuaraan walaupun berbaki satu perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Tertutup Kuantan, Pahang terpaksa bekerja keras untuk bangkit apabila Perak terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Awalluddin Mat Nawi.

Selang 14 minit kemudian, Pahang berjaya menyamakan kedudukan melalui Azwann Ismail sebelum Faizul Azuan Ramli Sharip kembali meletakkan Perak di hadapan 1-2, pada minit ke-18.

Firdaus Ambiah mengikat kedudukan buat Pahang pada minit ke-26 sebelum Ridzuan Bakri menjadikan kedudukan 2-3 buat Perak seminit kemudian.

Firdaus kembali menceriakan skuad Pahang apabila menjadikan kedudukan 3-3 pada minit ke-31 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas 15 perlawanan, Selangor mengutip 38 mata manakala Pahang 34 mata dan diikuti Perak, 27 mata di tempat ketiga.

Selangor akan bertemu Kedah pada perlawanan terakhir 28 September ini di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.


Pengarang :