Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengetuai delegasi Kerajaan Selangor bertemu konglomerat bagi sektor rangkaian sosial dan permainan terbesar Asia, Tencent Holdings, di Shenzen, China bermula 1 September lalu.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor ke China jana pelaburan tinggi, realisasi Negeri Pintar

SHAH ALAM, 8 SEPT: Delegasi Kerajaan Negeri bertemu konglomerat di China bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor, sekali gus merealisasikan hasrat Negeri Pintar 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kolaborasi dengan dua entiti besar seperti Huawei dan Tencent Holdings sedang dalam perancangan.

“Tencent adalah pengelola atau pengendali operasi sistem berkualiti tinggi dan menawarkan perkhidmatan software yang banyak digunakan dunia masa kini.

“Saya tawarkan mereka datang ke Selangor dan membina pangkalan data di sini, jadi ia sedang dibincangkan untuk melihat kesesuaiannya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, hasrat Selangor menjadi Negeri Pintar 2025 mudah tercapai sekiranya kerjasama (dijalin) dengan kedua-dua pemain industri utama itu.

“Penting untuk kita menarik pelaburan besar daripada pemain utama industri ini, apatah lagi mereka adalah pemain Smart City.

“Untuk menjadi Negeri Pintar, kita harus berkolaborasi dengan pemain utama ini bagi meningkatkan kefahaman kita bagaimana mekanisme dan dirangkumkan dalam Belanjawan 2020,” katanya.

Katanya, agensi seperi SMARTSel, Smart Selangor Delivery Unit, Invest Selangor dan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) akan menawarkan projek baharu dengan kolaborasi itu nanti.

“Kita sedang aturkan dan semua rangkuman di bawah tawaran yang saya rasa kukuh dan sangat menarik,” katanya.

Pada 7 April lalu, EXCO Pelaburan, Dato’ Teng Chang Khim mengumumkan China mencatatkan pelaburan tertinggi di Selangor dengan nilai pelaburan RM3.93 bilion setakat ini menerusi pelaburan dalam barangan berasaskan logam.

Turut sama pada delegasi itu ialah Chang Khim dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Terdahulu, delegasi itu mengadakan lawatan ke Tencent – syarikat pertama di Asia berjaya mencatat nilai syarikat tertinggi mencecah USD 500 bilion dengan memberi pengkhususan terhadap sektor rangkaian sosial, pembayaran digital, hiburan, kecerdasan dan teknologi.

Manakala, Pertemuan empat mata antara Kerajaan Selangor dan Huawei adalah bagi meneroka peluang baharu bagi membolehkan misi bergelar Negeri Pintar di ASEAN berjaya, tidak lama lagi.


Pengarang :