AGENSISELANGOR

Selangor pantau keadaan jerebu – MB

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani kesan jerebu yang sedang melanda.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kadar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia, Klang tinggi sehingga mencecah 213 ketika ini.

“Oleh itu, orang ramai di sekitar kawasan Johan Setia diminta mengambil langkah mengurangkan pergerakan dan aktiviti luar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Terdahulu, tiga sekolah di negeri ini terpaksa ditutup ekoran bacaan IPU di Johan Setia yang mencatatkan IPU sangat tidak sihat pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Muhamad Radzi Abdullah berkata, sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun dan SK Jalan Kebun.

Lima kawasan lain di Selangor yang mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Shah Alam (157), Petaling Jaya (153), Klang (150), Banting (132) dan Kuala Selangor (140).

Turut merekod bacaan IPU tidak sihat ialah Batu Muda (144) dan Cheras, Kuala Lumpur ( 127); Putrajaya (128); Nilai, Negeri Sembilan (127); Tangkak, Johor (110); Jerantut, Pahang (115) dan Sri Aman, Sarawak (160).

Kawasan lain dengan kualiti udara tidak sihat ialah Minden (103) dan Balik Pulau (128) di Pulau Pinang serta Tasik Ipoh (103) dan Seri Manjung (140) di Perak.


Pengarang :