EXCOSELANGOR

Selangor peruntuk RM1 juta laksana PPUIS

KUALA SELANGOR, 20 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi menggerakkan pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan India Selangor (PPUIS) bermula September hingga Disember tahun ini.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program selama tiga bulan itu sebagai pendekatan membasmi kemiskinan seterusnya meningkatkan kehidupan dan tahap pendapatan rakyat, khususnya masyarakat India di negeri ini.

Katanya, seramai 100 hingga 200 peserta disasarkan menyertai sesi taklimat yang akan dijalankan di kesemua 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut jadual ditetapkan.

“Ia merangkumi kursus Geran Bantuan Peralatan Perniagaan (15 peserta), GROW Bimbingan Perniagaan (35 peserta), Kursus Kemahiran dan Pembuatan (25 peserta) serta Latihan Pembangunan Usahawan (25 peserta).

“Kursus ini meliputi bidang perniagaan umum bagi kaum India seperti henna, solekan, dandanan, kulinari, jahitan dan fesyen, kitar semula atau ‘scrap metal’, fotografi serta logistik atau pengangkutan darat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerangan dan Pelancaran PPUIS, di Dewan Sri Siantan, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), di sini, pada 14 September lalu.

Hadir sama, EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji.

Terdahulu, ciri baharu diperkenalkan dalam PPUIS adalah SITHAM (Selangor Inthiyar Thozhil Arvalar Maiyam) membawa maksud sifat keazaman yang kukuh dalam diri seseorang usahawan.

Ia adalah kesinambungan daripada Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor yang mula dirancang pada 2017.

Rodziah berkata, kaum Bumiputera dan India antara golongan sasar yang diberi keutamaan khas oleh kerajaan bagi mengeluarkan mereka daripada kemisikinan.

Katanya, hal itu seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang menekankan pengagihan kekayaan sama rata.

“Kita memberi fokus kepada pemerkasaan dan pemberdayaan masyarakat seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

“Sasaran Kerajaan Negeri juga untuk meningkatkan pendapatan isi rumah bulanan golongan berpendapatan rendah B40 semua kaum daripada RM3,860 (definisi B40 pusat) kepada RM6,000 pada 2025,” katanya.


Pengarang :