Selangorkini
Gambar hiasan Rumah Selangorku yang siap dibina .Foto SELANGORKINI
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor sasar 30,000 unit RSKU siap dalam tempoh 5 tahun

SETIA ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri menyasarkan 30,000 unit Rumah Selangorku (RSKU) bakal siap dalam tempoh lima tahun, hingga 2023.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, beliau optimis sasaran itu akan tercapai, terutama Kerajaan Persekutuan kini sealiran dengan Kerajaan Negeri.

Katanya, sasaran itu juga tidak mampu tercapai tanpa kolaborasi pintar antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta pemaju.

“Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 264 projek pembangunan rumah mampu milik membabitkan 112,853 unit kediaman diberikan kelulusan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 11,645 unit sudah siap dibina dan diserahkan kunci, manakala 23,608 lagi dalam pembinaan dan akan boleh diduduki secara berperingkat bermula hujung tahun ini sehingga 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Pembeli Rumah Selangorku De Cemara Setia Alam dan Penyerahan Kunci Kepada Penyewa Skim Smart Sewa , De Kiara Setia Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri turut menzahirkan penghargaan kepada anak syarikat dan pihak pemaju terutama SP Setia Berhad yang menyokong dasar kerajaan serta komited membangunkan rumah mampu milik.

Katanya, sejak Dasar Rumah Selangorku dilancarkan pada 2014, SP Setia Berhad berjaya memajukan 3,256 unit RSKU di kawasan ini (Setia Alam) membabitkan projek De Palma yang sudah siap dan sedia diduduki.

Manakala katanya, projek De Bayu sebanyak 723 unit bakal siap pada Oktober, sementara projek De Cendana (624 unit) dan De Cemara (442 unit) masing-masing sedang dalam pembinaan.

“Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen pemaju SP Setia Berhad dalam menyahut usaha kerajaan bagi menyediakan rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M40.

“Dengan kredibiliti pemaju seperti SP Setia Berhad, Kerajaan Negeri yakin dan percaya usaha meneruskan agenda serta dasar ini dapat direalisasikan melalui pembinaan rumah mampu milik.

“Saya berharap dengan kejayaan pihak pemaju, ia akan dijadikan contoh dan galakan kepada seluruh pemain industri supaya sentiasa komited menyediakan perumahan mampu milik di Selangor,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,192 rumah mampu milik bakal dimajukan di kawasan Setia Alam dengan keseluruhan 4,448 unit.


Pengarang :