PBTSELANGOR

Semarak Seni Budaya cungkil bakat baharu

OLEH ALIFF HAIKAL

SUBANG, 12 SEPT: Program Semarak Seni Budaya berjaya mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat terutama dalam bidang seni budaya, sekali gus mempromosikan produk pelancongan di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tujuan program itu sebagai landasan bagi menggalakkan orang awam untuk membabitkan diri dalam aktiviti kebudayaan di Malaysia.

“Program kebudayaan ini dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat terutama dalam bidang seni budaya, sekali gus mempromosikan produk pelancongan di kawasan MPSJ,” katanya.

Program itu dirasmikan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari yang turut dihadiri EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau serta Yang DiPertua MPSJ, Noraini Roslan, di The Square One City, di sini, pada 8 September lalu.

Antara acara dipertandingkan ialah teater muzikal aspirasi kemerdekaan, pertandingan kanak-kanak, pertandingan kebudayaan warisan dan pertandingan ‘beyblade burst’.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang program seperti persembahan tarian tradisional selain aktiviti komuniti seperti ‘busking’, jualan buku, pameran dan jualan oleh Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negeri Selangor serta Tourism Selangor.

“Hadiah pertandingan adalah wang tunai RM3,000 bagi johan pertandingan teater muzikal aspirasi kemerdekaan, RM70 bagi johan pertandingan mewarna kanak-kanak dan RM500 untuk johan pertandingan kebudayaan warisan,” katanya.

Bagi pertandingan muzik kitar semula, johan menerima wang tunai RM2,000 serta piala pusingan dan RM100 bagi pertandingan ‘beyblade burst’ serta ‘beyblade takara tomy’.


Pengarang :