AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Semua sekolah di Selangor, KL, Putrajaya, Pulau Pinang tutup dua hari

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Semua sekolah dan tadika di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya ditutup selama dua hari bermula esok, umum Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek, hari ini.

Beliau berkata, penutupan sekolah dan tadika di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya dibuat ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin tinggi dan berbahaya, manakala di Selangor pula penutupan sekolah dibuat Jawatankuasa Bantuan dan Bencana Selangor.

“Bagi guru-guru yang terlibat dengan penutupan sekolah, mereka diberi pilihan untuk bekerja dari rumah atau hadir ke sekolah,” katanya pada sidang media sempena Majlis ‘Meet and Greet Pasukan Malaysia Warrior and Malaysia Tiger’, di sini, hari ini.

Maszlee berkata, semua pengumuman dan penutupan sekolah akan dilakukan setiap hari selewat-lewatnya jam 6 petang.

Guru besar juga diberi kebenaran untuk mengumumkan penutupan sekolah sekiranya mereka berpandangan keadaan jerebu semakin teruk berdasarkan trend bacaan IPU pada hari berkenaan dan keputusan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing, katanya.

Bagi sekolah diumumkan tutup setelah murid-murid berada di sekolah, murid-murid dibenarkan berada di sekolah dan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan berjalan seperti biasa sehingga habis waktu persekolahan bagi sesi tersebut kecuali ada permintaan waris untuk membawa anak mereka pulang, katanya.

“Semua sekolah yang terlibat dengan penutupan juga tidak perlu diganti kerana dikategorikan sebagai cuti bencana,” katanya.

Maszlee berkata, keputusan penutupan mana-mana Institut Pengajian Tinggi adalah terletak kepada keputusan pengurusan universiti masing-masing.

Sementara itu, di Seremban, sebanyak 53 sekolah di kawasan Nilai, Labu dan Mantin ditutup bagi sesi persekolahan esok ekoran IPU melebihi 200.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, setakat jam 5 petang, bacaan IPU di Nilai merekodkan bacaan 211 iaitu sangat tidak sihat dan penutupan sesi persekolahan esok melibatkan seramai 28,073 pelajar.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Di Ipoh, semua 147 buah sekolah dalam Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) akan ditutup esok berikutan keadaan jerebu di kawasan itu yang bertambah buruk.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, daripada jumlah itu, 36 adalah sekolah menengah, manakala 111 lagi sekolah rendah dan jumlah pelajar terjejas adalah 48,006 orang.

“Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi 200 mulai 2 petang ini, Pegawai Pendidikan Daerah LMS boleh memaklumkan kepada pengetua dan guru besar untuk menutup sekolah pada Khamis, 19 September,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berdasarkan bacaan IPU di Taiping berada pada paras sangat tidak sihat iaitu 203 setakat pukul 5 petang ini.

– BERNAMA


Pengarang :