Yang Dipertua MPAJ Datuk Abd. Hamid Hussain bergambar dengan sebahagian hasil lukisan 3D di Jalan Memanda 7, Ampang.
PBTSELANGOR

‘Senario Ampang’ tarikan baharu di Ampang Point

SHAH ALAM, 18 SEPT: ‘Senario Ampang’ di Ampang Point kini menjadi tarikan baharu kepada penduduk sekitar selepas melalui proses baik pulih menerusi inisiatif pengindahan lorong belakang hasil kerjasama Jawatankuasa Kerja Bandar Selamat MPAJ dan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, kerja-kerja menaik taraf kawasan itu membabitkan kerja pembersihan, pemasangan lantai konkrit, penyediaan ‘interlocking paving’ menghubungkan ke kawasan sekitar, pemasangan lampu dekorasi, kamera litar tertutup (CCTV), kerja elektrikal dan lukisan mural 3D yang memaparkan aktiviti sinonim kawasan itu.

“Pengindahan lorong belakang Jalan Mamanda 7 ini bertujuan meningkatkan aspek keselamatan dan kebersihan seterusnya sebagai tarikan baharu di kawasan Ampang.

“Konsep dan tema adalah memaparkan aktiviti sosial yang sinonim di sekitar Ampang. Projek ini di namakan ‘Senario Ampang’ yang membabitkan pengindahan di sepanjang 145 kaki dan dinding 14 unit bangunan perniagaan setinggi 20 kaki.

“Ini adalah antara inisiatif untuk mengubah suasana lorong belakang bangunan khususnya di kawasan komersial menjadi lebih selamat, bersih dan indah,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Norhayati berkata, pihaknya turut merancang untuk melaksanakan projek pengindahan di lorong belakang lain pada masa hadapan.

“Berdasarkan Pelan Induk Pengindahan lorong belakang Ampang Point, terdapat perancangan untuk melaksanakan projek pengindahan di lorong belakang yang lain sekiranya projek pertama ini berjaya mencapai objektifnya.


Pengarang :