ADNSELANGOR

Setahun Halimey, rai pengamal media

PETALING JAYA, 10 SEPT: Kira-kira 50 pengamal media memeriahkan Pertandingan Tenpin Bowling Mesra Media anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Wangsa Bowl, One Utama, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, pertandingan itu bagi meraikan pengamal media sempena setahun kepimpinannya di DUN berkenaan.

Katanya, program itu juga sebagai usaha mengukuhkan silaturrahim yang sedia terjalin antaranya bersama rakan media.

“Kita berbesar hati meraikannya dan merapatkan ukhuwah bersama pengamal media yang banyak membantu memberikan liputan terbaik sepanjang kerjaya saya bermula dari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia sehingga kini.

“Semoga hubungan ini lebih erat demi manfaat rakyat keseluruhannya,” katanya.

Pada masa sama, Halimey berharap program sedemikian akan terus diadakan dan berterima kasih kepada seluruh warga kerja media yang sentiasa menyokong kerjayanya selaku ADN di kawasan itu.

Pertandingan itu disertai agensi media antaranya TV3, Utusan Malaysia, TV AlHijrah, Sinar Harian, Selangor FM, Malaysia Gazette, Malaysia News TV, TV Selangor dan SelangorKini.

Pada PRK tahun lalu, Halimey memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 4,027 undi menewaskan calon dari PAS, Dr Halimah Ali.


Pengarang :