Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) Antonio Guterres. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Setiausaha Agung PBB gesa Korea Utara bebaskan semua tahanan politik

SEOUL, 4 SEPT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa Korea Utara membebaskan semua tahanan politik dan menuduh Pyongyang mencabuli hak asasi manusia terhadap tahanan di penjara, lapor agensi berita Yonhap memetik laporan.

Gesaan Guterres itu terkandung dalam laporan untuk Sesi ke-74 Perhimpunan Agung PBB, yang dijadual pada 17 September. Laporan itu merangkumi situasi hak asasi manusia di Korea Utara dari September tahun lepas hingga Julai tahun ini.

Mengenai orang yang ditahan di pusat tahanan kem Jongori di wilayah Hamgyong Utara, laporan itu menyebut terdapat 3,000 tahanan dipenjara, “banyak kematian akibat kebuluran dilaporkan.”

Penyakit seperti tuberkulosis dan hepatitis dilaporkan meningkat, selain kes didera pengawal penjara yang adakalanya sehingga mengakibatkan kematian.

“Ditangkap, dipukul, buruh paksa, hukuman mati dan lain-lain bentuk penganiayaan dan penyalahgunaan dilakukan pegawai di pusat tahanan dan penjara…nampaknya berleluasa,” kata Guterres.

Dalam laporan itu, Guterres turut mengemukakan beberapa cadangan untuk memperbaiki situasi hak asasi manusia di Korea Utara, seperti menubuhkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia yang mempunyai akses membuat pemantauan.

-BERNAMA


Pengarang :