AGENDA NASIONAL

Siap siaga hadapi banjir termasuk di luar jangka

PASIR PUTEH, 22 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meletakkan 14,000 anggotanya di seluruh negara bersiap sedia menghadapi banjir termasuk di luar jangka bermula dari sekarang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata, ini termasuk fenomena perubahan angin monsun sebagaimana dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang dijangka bermula Selasa ini.

“JBPM sudah mempunyai jawatankuasa khas mengenainya yang turut membabitkan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara menutup Latihan Amal Ops Mex Kijang Ke-21 di Supply Base, di sini, hari ini.

Seramai 1,000 anggota daripada pelbagai agensi yang berkaitan menyertai latihan menyelamat termasuk kapal terbakar, tumpahan minyak dan pencemaran udara.

Semalam MET Malaysia, mengeluarkan kenyataan antara lain perubahan angin Monsun dijangka bermula 24 September sehingga awal November depan yang boleh mengakibatkan angin kencang, hujan lebat yang berpotensi berlaku banjir di negeri Pantai Barat Semenanjung, Pantai Barat Sabah dan Barat dan Tengah, Sarawak.

Amer berkata, jika berlaku banjir besar di sesebuah negeri pihaknya akan mengarahkan negeri-negeri berjiran membantu termasuk dari segi logistik dan anggota.

Mengenai latihan itu, beliau berkata, ia diadakan sebagai menguji kesiapsiagaan pelbagai agensi dalam menghadapi bencana dengan lebih berkesan dan menguji keberkesanan pengurusan bencana berdasarkan mekanisme pengurusan bencana seperti Arahan MKN No 20.

Katanya, ia juga bertujuan untuk menguji koordinasi penyaluran bantuan pelbagai agensi termasuk agensi sokongan ketika berlaku bencana.

– BERNAMA


Pengarang :