Mohd Hanafi Jamiat (kiri) dan Mahdi Al-Hilmy Arshad (tengah) pada temu bual eksklusif di De Palma Hotel, Ampang pada 22 Ogos 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

SIHC 2019: Kerjasama JAIS-HIS mampu tarik pelaburan industri Halal

AMPANG, 20 SEPT: Kolaborasi strategik antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Halal International Selangor (HIS) menerusi Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SIHC) 2019 diyakini mampu menarik minat negara luar melabur di Selangor, terutama membabitkan industri halal.

Ketua Penolong Pengarah JAIS, Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, hampir 500 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri termasuk beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan dihimpunkan bagi menguatkuasakan perundangan berkaitan halal.

Katanya, beberapa badan pensijilan halal dari luar negara melalui Majlis Halal Malaysia seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei turut dijemput untuk menjayakan konvensyen berkenaan.

“Ia menjadi satu anjakan paradigma kepada peserta melalui perkongsian percambahan maklumat pemantauan dan penguatkuasaan halal di Malaysia serta memantapkan kefahaman perundangan halal, seterusnya mencapai kehendak Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita akan mendapatkan beberapa resolusi menerusi persidangan itu nanti yang sekali gus menjadi penanda aras dan panduan terhadap tindakan serta gerak kerja dalam mengurus juga menguatkuasakan perundangan halal,” katanya dalam temubual eksklusif bersama SelangorKini pada seminar anjuran JAIS,di De Palma Hotel, di sini, baru-baru ini.

Mengetengahkan tema ‘Halal Untuk Semua’, konvensyen itu bakal diadakan pada 10 Oktober ini di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 di bawah kelolaan agensi penggerak pelaburan negeri, Invest Selangor Berhad.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan HIS, Mohd Hanafi Jamiat berkata, persidangan julung kali menggabungkan elemen daripada penguatkuasaan dan industri terbabit menampilkan kelainan dengan memberi fokus terhadap industri halal secara keseluruhan.

“Kita akan mengetengahkan elemen inovasi dan teknologi terkini, selain membincangkan secara lebih mendalam berkaitan strategi pemasaran dalam industri halal termasuk perkara dipraktikkan pemain industri yang sudah berjaya.

“Kita juga berkongsi inisiatif dibangunkan bersama pihak industri seperti Konsultansi Klinik Halal kepada peserta Penilaian Kesediaan Sijil (CRA) dan panel yang dipilih terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.

Sesi pertama persidangan yang dikendalikan JAIS akan memperincikan beberapa topik antaranya ‘Meneraju Mesra Halal: Halal Merentasi Sempadan’, ‘Premis Makanan: Dilema Penguatkuasa’ dan ‘Ayam Oh Ayam: Fiqh vs Law’.

Manakala, HIS mengupas topik ‘Redefining the Next Trillion Industry: Creating Effective Marketing Strategies for Halal Industries’ dan ‘Digitalising Islam Economy: Implementing Halal Blockchain and Traceability in Supply Chain’.

SIBS yang dijadual berlangsung selama empat hari merangkumi Selangor International Expo, Edisi ke-5 (10-13 Okt); Selangor ASEAN Business Conference, Edisi ke-3 2019 (10-11 Okt); Selangor Smart City and Digital Economy, Edisi ke-4 (11-13 Okt) dan Selangor R&D and Innovation Expo (10-13 Okt).

Serentak itu, sidang kemuncak memasuki edisi ketiga turut membawakan Malaysia International Tea & Coffee Expo (10th – 13th Okt 2019) Malaysia China Entrepreneur Conference, Edisi ke-9 (12th Okt 2019) Selangor International Halal Conference (10th Okt 2019).

Aktiviti disediakan termasuk ‘2nd Battle of Teh Tarik’ (12 Oktober) dan Selangor International Culinary Festival (10-13 Okt 2019).

Difahamkan, sebanyak 850 ruang pameran dari 40 negara bakal diketengahkan dan dijangka menerima kunjungan lebih 30,000 pelawat perdagangan.


Pengarang :