AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sisa plastik diimport secara haram dihantar balik ke negara asal

GEORGE TOWN, 28 SEPT: Kerajaan tidak akan bayar walau satu sen kos bagi menghantar kontena berisi sisa plastik kembali ke negara asalnya, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang dalam menguruskan perkara itu, dan sudah menghubungi pejabat-pejabat kedutaan yang terlibat bagi menghantar balik bahan sisa itu kepada syarikat-syarikat dan negara yang terlibat.

“Ia bukan saja soal kos, ia mengenai maruah. Mengapa mereka hantar barang-barang ini kepada kita, dan kita masih perlu membayar untuk mengembalikannya.

“Pihak yang bertanggunjawab perlu membayar denda kerana mengimport sisa secara haram sehingga mereka ambil balik sisa berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan edisi kelapan pameran Penang International Green Conference & Exhibition (PGIGCE) 2019 bersama dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.

Beliau berkata, wakil dari United Kingdom tiba di Pulau Pinang beberapa hari lepas bagi mengenal pasti pemilik 42 daripada 265 kontena yang berisi dengan sisa plastik yang ditemui ditinggalkan di Terminal Utara Butterworth sejak Januari lepas.

“Mengenal pasti penghantar bukan isunya, tapi prosedur itu sendiri akan mengambil masa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bee Yin berkata, kerajaan akan memberikan bantuan sokongan yang sewajarnya kepada kerajaan Pulau Pinang dalam menangani isu berkaitan peningkatan paras laut disebabkan perubahan iklim.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mempunyai rancangan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berdaya tahan dalam menangani isu perubahan iklim.

Terdahulu, dalam ucapannya Bee Yin mengumumkan inisiatif kerajaan memberikan insentif kepada Pulau Pinang bagi memangkin penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia dan menarik lebih banyak pelajar mengikuti pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Insentif yang diumumkan termasuk pemasangan empat set panel solar di tiga buah sekolah di Pulau Pinang dan satu entiti pilihan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), serta peruntukan RM500,000 kepada Tech Dome Penang bagi menawarkan kemasukan percuma kepada pelajar.

Dengan tema ‘Penang Green and Smart City’, program tiga hari yang menampilkan 70 ruang pameran itu dikatakan sebagai PGIGCE terbesar yang pernah dianjurkan di sini.

– BERNAMA


Pengarang :