EXCOSELANGOR

SITHAM bantu kaum India tingkat pendapatan

AMPANG, 28 SEPT: Kerajaan Negeri mahu rakyat di negeri ini termasuk kaum India untuk terus meningkatkan pendapatan dan keluar daripada belenggu kemiskinan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi Program Pembangunan Usahawan India Selangor (PPIUS) atau lebih mesra digelar Selangor Inthiyar Tholil Arvalar Maiyam (SITHAM).

“Hasrat Kerajaan Negeri adalah kaum Bumiputera dan India merupakan golongan sasaran yang diberi keutamaan untuk keluar daripada kemiskinan.

“Bagi progam SITHAM, kita mendasarkan 1,200 peserta daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Taklimat Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, bidang keusahawanan umum bagi kaum India adalah solekan, kulinari, jahitan dan fotografi.

Rodziah berharap kaum India akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pendapatan serta melahirkan lebih ramai usahawan pada masa hadapan.

SITHAM terdiri daripada empat kategori iaitu Latihan Pembangunan Usahawan, Kursus Kemahiran dan Pembuatan jangka masa pendek, program bimbingan perniagaan (GROW) dan bantuan peralatan perniagaan (GERAN).

Latihan Pembangunan Usahawan adalah penyediaan latihan asas kepasa usahawan India untuk mempelajari teknik menambah jualan dan memahami keperluan terkini dalam perniagaan.

Syarat penyertaan adalah berbangsa India bermustautin lima tahun, berumur 18 hingga 55 tahun serta berminat dan sedang menceburi bidang perniagaan.

Kurus Kemahiran dan Pembuatan pula memberikan latihan secara ‘one-off’ kepada peserta yang tidak mempunyai sebarang kemahiran perniagaan dan pembuatan.

Peserta perlu memenuhi syarat berbangsa India, berumur 18 hingga 55 tahun, bermustautin lima tahun dan berminat dengan latihan.

Bagi program GROW, peserta bakal mendapat bimbingan daripada mentor berpengalaman, peluang menjana pendapatan menerusi latihan diberikan, boleh terus memulakan perniagaan serta mendapat modal memulakan perniagaan maksima RM5,000.

Kategori GERAN pula peserta akan diberikan bantuan peralatan kepada usahawan yang telah mempunyai perniagaan sendiri sehingga maksima RM10,000.


Pengarang :