AGENDANASIONAL

Skandal 1MDB: Wang RM4.901 juta daripada Yayasan Permata kini hak kerajaan

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Wang berjumlah RM4.901 juta yang disita daripada Yayasan Permata Malaysia didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menjadi hak Kerajaan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim memohon satu perintah kepada mahkamah supaya harta itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Yayasan Permata Malaysia, yang kini dikenali sebagai Yayasan GENIUS Malaysia yang diwakili Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah Yayasan itu Dr Noraisah Spahat, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersetuju dan tidak membantah harta itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

“Pihak Yayasan telah bersetuju untuk tidak menuntut pada harta itu dan bersetuju untuk menyerahkan wang itu kepada Kerajaan Malaysia,” katanya ketika ditanya Hakim Sequerah sama ada pihak Yayasan membantah atau tidak terhadap permohonan lucut hak itu.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwa raya mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, dalam kes bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam, pendakwaan memaklumkan bahawa penyiaran pewartaan notis untuk pihak ketiga telah dibuat dan notis umum difailkan melalui sistem e-filing pada 22 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Nik Haslinie berkata tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah untuk menuntut aset yang disita daripada Kasitah dan mahkamah menetapkan 10 September untuk pendengaran permohonan lucut hak.

Kasitah yang tidak diwakili peguam hadir ke mahkamah.

Pihak pemohon (pendakwaan ) turut memberitahu mahkamah bahawa pewartaan notis kepada pihak ketiga telah disiarkan dalam kes lucut hak melibatkan tujuh pihak lain, namun tiada mana-mana pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta itu.

Tujuh pihak itu ialah ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusuf, Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), Jakel Trading, Mediaedge Cia Malaysia Sdn Bhd dan Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM).

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Bustari dan mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk pendengaran kes itu.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor diwakili peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali; Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor diwakili peguam Haslina Lily manakala peguam Datuk Jagjit Singh bertindak bagi pihak LDP Sabah.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 dari Badan Perhubungan UMNO Johor dan LDP Sabah berjumlah RM509,560.96.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk pendengaran kes melibatkan UMNO Johor, 18 Okt bagi UMNO Selangor dan LDP Sabah serta 1 November untuk mendengar kes Mediaedge Cia yang diwakili peguam S.Gopal manakala 8 November bagi PBAKM yang diwakili peguam Adzly Ab Manas dan 25 Oktober bagi kes Jakel Trading.

-BERNAMA


Pengarang :