EXCOSELANGOR

Skim Sewa Beli bantu rakyat miliki rumah

SETIA ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan Skim Sewa Beli kepada rakyat Selangor untuk memudahkan mereka mendapat pembiayaan pinjaman daripada institusi kewangan bagi memiliki rumah pertama.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, usaha itu difokuskan kepada rakyat yang sukar mendapatkan pinjaman bagi pembelian rumah pertama.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam sesi perbincangan bersama institusi kewangan bagi merealisasikan skim terbabit.

“Pada masa ini, kerjasama bersama institusi kewangan masih dalam proses perbincangan lanjut dengan jangkaan penyediaan dana sejumlah RM1 bilion.

“Melalui dana itu, ia akan digunakan bagi pembelian rumah dan diharapkan usaha ini dapat diperkenalkan pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Pembeli Rumah Selangorku De Cemara Setia Alam dan Penyerahan Kunci Kepada Penyewa Skim Smart Sewa, De Kiara Setia Alam, di sini hari ini.

Pada masa sama, Haniza berkata, Kerajaan Negeri optimis pembeli dapat mengambil peluang terbaik untuk membantu lebih ramai kumpulan sasar mendapat pinjaman perumahan mampu milik secara mudah.

Pada 2 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan melalui Bank Negara Malaysia memperkenalkan Dana Mampu Milik bertujuan membiayai pembelian rumah pertama.

Tawaran syarat kelayakan pemohon dinaikkan berkuat kuasa pada 1 September lalu dengan pendapatan maksimum bulanan isi rumah RM4,360.

Selain itu, syarat lain adalah harga tanah sehingga RM300,000 seunit (sebelum ini sehingga RM150,000 seunit) dan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun.

Tempoh pembiayaan adalah sehingga 40 tahun atau sehingga usia 70 tahun.


Pengarang :