AGENDANASIONAL

SKMM: Pelan Gentian Optik sedia kesalinghubungan digital mampan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bukan projek mega, sebaliknya penting bagi menggariskan strategi, sasaran dan tindakan yang akan memastikan kesalinghubungan digital negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pelaksanaan NFCP berpandukan kepada dua turus utama membabitkan siri projek infrastruktur yang akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat.

Katanya, ia dijangka akan dibiayai secara komersial oleh pemegang lesen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkaitan.

“Projek infrastruktur ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ke seluruh negara menggunakan pelbagai teknologi yang antara lain merangkumi gentian optik, teknologi tanpa wayar dan satelit.

“Kos keseluruhan sebanyak RM21.6 bilion juga adalah jumlah anggaran, yang berkemungkinan besar akan berubah apabila NFCP ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, SKMM turut menafikan Opcom akan menjadi penerima manfaat terbesar projek NFCP.

Katanya, NFCP terdiri daripada pelbagai projek infrastruktur, termasuk projek komersial yang dibiayai oleh pemegang lesen sendiri.

“Projek ini juga akan mempertimbangkan penggunaan teknologi berbeza, justeru tidak ada satu syarikat khusus yang menyediakan teknologi khusus boleh menjadi penerima manfaat terbesar daripada NFCP.

“Pihak kerajaan mahupun SKMM tidak akan menetapkan penyedia teknologi kerana perkara ini akan diputuskan oleh pihak pemegang lesen, justeru tidak tepat untuk menamakan Opcom sebagai penerima manfaat terbesar NFCP,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, jemaah menteri bersetuju memperuntukkan RM21.6 bilion bagi pelaksanaan NFCP bermula 2019 hingga 2023.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, NFCP akan mencapai kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk dan ketersediaan rangkaian gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan semua ibu negeri menjelang 2023.


Pengarang :