AGENDANASIONAL

SPR tinjau pusat mengundi, penamaan PRK Tanjung Piai

JOHOR BAHRU, 24 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini meninjau beberapa sekolah dan pusat untuk dijadikan pusat pengundian dan penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan datang.

Pengarah SPR negeri Shafie Taib berkata, ia sebahagian daripada persediaan awal suruhanjaya itu menjelang satu Mesyuarat Khas SPR Selasa depan.

“Kita meninjau beberapa sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Serkat, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kukup dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bin Chong iaitu tiga daripada 27 sekolah yang terlibat sebagai pusat pengundian.

“Kita juga meninjau Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, iaitu antara tempat cadangan untuk diwartakan sebagai pusat penamaan calon,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Terdahulu, tinjauan hari ini turut disertai Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, Pegawai Daerah Pontian Zulkifly Mohd Tahir, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh dan Pegawai Pendidikan Daerah Pontian Shaharudin Basri Ibrahim.

Menurut Shafie, aspek keselamatan, kemudahan dan keselesaan pengundi serta logistik ialah antara aspek penting dalam persiapan menghadapi PRK Tanjung Piai, melibatkan 125 saluran mengundi.

Semalam, Mohamed Elias dilaporkan sebagai berkata Mesyuarat Khas pada 1 Okt itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi pelaksanaan PRK Tanjung Piai.

Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun pada pukul 10 pagi di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya.

Kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai adalah berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada Sabtu lepas berikutan komplikasi jantung.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang meninggal dunia pada umur 42 tahun, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Md Farid yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (Barisan Nasional) dan Nordin Othman (PAS).

Dr Md Farid memperoleh 21,255 undi diikuti Wee dengan 20,731 undi dan Nordin dengan 2,962 undi.

-BERNAMA


Pengarang :