Pengusaha perahu tambang, Jeni Boh, 54, (kiri) mengambil penumpang di Sungai Sarawak berhampiran Tebingan Sungai Kuching ketika jerebu semakin teruk melanda Kuching, Sarawak yang dirakam pada 8 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sri Aman, Kuching catat IPU sangat tidak sihat

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Dua kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman dan Kuching, masing-masing mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat dengan catatan rekod tertinggi IPU berbanding 68 Stesen Pengawasan Udara Automatik lain-lain tempat di seluruh negara.

Berdasarkan bacaan dipaparkan di laman web http://apims.doe.gov.my setakat pukul 6 petang ini, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati dua kawasan yang mengalami kesan teruk fenomena jerebu itu ialah Sri Aman yang merekodkan IPU 248, dan Kuching 241.

Sebanyak empat Stesen Pengawasan Udara Automatik di negeri itu turut menunjukkan IPU tidak sihat iaitu di stesen Samarahan IPU 191, Sarikei (142), Sibu (119) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (105).

Selain itu, tujuh lagi stesen di Sarawak mencatat IPU sederhana melibatkan Mukah (86), Kapit (85), Bintulu (80), Samalaju (74), SK Kuala Baram 2 (73), Limbang (71) dan Miri (69).

Di Sabah pula, kesemua tujuh stesen mencatat bacaan IPU sederhana iaitu Politeknik Kota Kinabalu (62), Labuan (61), Sandakan (60), Kota Kinabalu (54), Keningau (54), Tawau (54) dan Kimanis (53).

Sementara itu, di Semenanjung Malaysia, enam stesen mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Johan Setia, Selangor (151); Cheras, Kuala Lumpur (111); Nilai, Negeri Sembilan (109); Batu Muda, Kuala Lumpur (108); Putrajaya (105) dan Petaling Jaya (102), manakala stesen lain mencatat IPU sederhana.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, keadaan jerebu secara amnya bertambah baik di utara dan tengah Sarawak dengan kebanyakan tempat menunjukkan jarak penglihatan baik dan IPU sederhana berikutan hujan di kawasan itu pada awal pagi tadi dan berkurangnya bilangan titik panas di selatan Kalimantan, Indonesia.

“Bagaimanapun, keadaan di barat Sarawak (Kuching dan Sri Aman) masih tidak berubah memandangkan tiada hujan di kawasan itu, selain kawasan kebakaran masih ada di selatan Kalimantan dan angin Barat Daya yang lemah terus membawa asap jerebu ke barat Sarawak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa memakai penutup muka di samping meminum air yang banyak.

Orang ramai juga boleh melayari http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam, dan maklumat cuaca terkini juga dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca serta media sosial MetMalaysia.

– BERNAMA


Pengarang :