PBTSELANGOR

SS15 bakal berwajah baharu

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal menaik taraf dua kawasan utama di SS15, iaitu di pasar moden SS15/4 dan kawasan rojak mamak SS15/4G.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, kerja menaik taraf itu bertujuan memperindah kawasan terbabit, meningkatkan keselamatan dan melancarkan aliran trafik.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian adalah memasang lebih 100 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih efisien di kawasan terbabit.

“Selepas mengambil pandangan pelbagai pihak, kita jangkakan hujung tahun ini kawasan itu akan siap dipasang CCTV bercirikan teknologi imbasan muka dan kawalan aliran trafik.

“Selain itu, kita turut memperuntukan RM1 juta bagi kerja menaik taraf kemudahan awam seperti tempat duduk dan ruang istirehat serta membina laluan pejalan kaki dengan kemudahan jubin pandu arah kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Perjumpaan Awam bagi Menaik Taraf Kawasan Komersial SS15, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Pada masa sama, katanya, kerja menaik taraf itu turut membabitkan lapan unit kiosk perniagaan iaitu menambah baik tempat duduk pelanggan dan pembinaan struktur papan tanda SS15 di Jalan SS 15/4G.

Noraini berkata, SS15 dipilih kerana kawasan terbabit adalah projek perintis Bandar Pintar MPSJ, namun pihaknya akan bergerak secara berperingkat untuk menaik taraf kawasan lain dalam pentadbirannya pada masa akan datang.

Selain itu, katanya, kerja menaik taraf itu sedikit sebanyak mengutamakan keselamatan wanita yang melalui kawasan terbabit, pada bila-bila masa.

“Justeru, sebagai pembuat dasar saya juga mahukan kawasan Subang Jaya ini sebagai mesra wanita yang lebih selamat dan mesra,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 penduduk dan komuniti niaga sekitar SS15 turut terbabit dalam sesi perjumpaan itu.


Pengarang :