AGENDAGLOBAL

Stesen MRT Jakarta diawasi kerana berbau busuk

JAKARTA, 1 SEPT: Pihak berkuasa Indonesia terpaksa meletakkan pengawal keselamatan di sepanjang laluan penjalan kaki di stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Lebak Bulus ekoran aduan bau hancing diterima.

Menurut The Jakarta Post, Pengarah Eksekutif PT MRT Jakarta, William Sabandar berkata, syarikat itu akan membuat penyelarasan dengan polis Jakarta selatan bagi menjaga kawasan penjalan kaki dan meletakkan kakitangan pembersihan untuk membersihkannya setelah menerima aduan.

William menjamin pengawasan akan dilakukan dengan lebih ketat dengan pegawai yang ditugaskan akan memantau lokasi itu selama 24 jam.

“Dengan kawalan ketat ini diharapkan tidak akan berlaku lagi bau hancing. Kami benar-benar mengharapkan kesedaran dan tanggungjawab awam untuk mengekalkan kebersihan, keselamatan dan keselesaan kawasan sekitar stesen MRT,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Bomba Jakarta Selatan dan Agensi Pengangkutan Jalan Jakarta Selatan menyembur air ke laluan itu selepas menerima aduan mengenai bau busuk.

Indonesia membuka perkhidmatan MRT pertamanya pada 24 Mac lalu yang dirasmikan Presiden Joko Widodo selepas melalui proses pembinaan selama hampir enam tahun.

Projek bernilai RM4.5 bilion yang mempunyai laluan trek sepanjang 16 kilometer itu boleh mengurangkan kesesakan trafik di kota republik berkenaan.


Pengarang :