Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub menandatangani pada plak sebagai simbolik perasmian bangunan pejabat PPK Tenom pada 13 September 2019. Turut hadir Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual (kanan) dan Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara Yap Yun Fok (kiri). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Subsidi baja, racun padi huma mula diagih bulan ini

TENOM, 13 SEPT: Subsidi baja dan racun Padi Huma/Bukit yang melibatkan peruntukan sebanyak RM44 juta mula diagihkan pada bulan ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata pesawah kini boleh mendapatkan bekalan baja untuk musim ini di Pejabat Pertanian di kawasan masing-masing.

“Pegawai pertanian akan mengedarkannya secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tenom di sini, hari ini.

Pejabat baharu PPK Tenom itu dibina pada Mac tahun lepas dengan kos RM2.6 juta.

Pada 13 Jun lepas, Salahuddin mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM44 juta untuk skim subsidi itu yang akan memanfaatkan 56,446 pesawah padi bukit di Sabah dan Sarawak.

Ia membabitkan 11,684 pesawah padi bukit di Sabah dan 44,762 di Sarawak selepas skim subsidi itu diperkenalkan sejak 2015.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, kementeriannya menggalakkan petani dan pekebun untuk memohon benih baharu di bawah inisiatif sumber kekayaan baharu dengan mempelbagai tanaman.

Katanya inisiatif ini bagi memastikan tanaman kontan diperbanyakkan di negara ini bagi mengurangkan kebergantungan import makanan termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran dari luar negara.

“Kita minta Lembaga Pertubuhan Peladang menerusi PPK untuk menjadi sebuah agensi proaktif dalam mempelbagaikan tanaman petani serta pekebun di negara ini.

“Pihak kementerian akan membantu rakyat terlibat dalam tanaman kontan ini dan PPK akan menjadi agensi yang memantau dan kalau boleh semua tanaman kontan, tanam dalam skala besar dan bukan kecil-kecilan,” katanya.

Salahuddin berkata tanaman kontan dalam skala besar akan memberi pulang pendapatan yang baik kepada kepada petani dan pekebun.

-BERNAMA


Pengarang :