Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sumbangan graduan, alumni KUIS realisasi impian universiti wakaf

BANGI, 7 SEPT: Graduan dan alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) disaran terus menjadi penyumbang tetap kepada dana wakaf, dana zakat dan infaq.

Rektornya, Prof Dr Ab Halim Tamuri berkata, usaha itu diwujudkan supaya dapat melunaskan hasrat KUIS mencapai impian sebagai sebuah universiti wakaf di Selangor.

“Graduan dan Alumni KUIS adalah duta penting dalam masyarakat, yang boleh membantu membangunkan KUIS di masa hadapan.

“Melalui sumbangan ini akan dapat membantu pelajar-pelajar KUIS yang memerlukan bantuan.

“Harapan saya, usaha ini akan mempercepatkan lagi hasrat KUIS untuk mencapai impian sebagai sebuah Universiti Wakaf yang terulung di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 22, di Pusat Konvensyen KUIS, di sini.

Dr Ab Halim berkata, sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pihak swasta memberikan biasiswa kepada pelajar terpilih menunjukkan keprihatinan pihak swasta dalam melihat kejayaan anak bangsa.

“KUIS merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang menaja pelajar dari aspek sumber kewangan.

“Terima kasih kepada Bank Rakyat, Etiqa Takaful, Etiqa General, Bank Islam dan lain-lain atas sumbangan yang diberikan kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Kemeriahan suasana ketika Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada Majlis Konvokesyen kali ini, seramai 2,338 graduan dianugerahkan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah masing-masing.

Majlis penuh gemilang itu diadakan selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad nanti.


Pengarang :