AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sungai Semenyih tercemar, 372,031 pelanggan bakal terputus bekalan air

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pencemaran bau dengan bacaan lima ton di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) menyebabkan loji rawatan itu terpaksa dihentikan tugas serta-merta hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden terbabit.

“Loji terpaksa dihenti tugas ekoran pencemaran bau menyebabkan sebanyak 204 kawasan melibatkan sejumlah 372,031 akaun pelanggan berdaftar akan terjejas dengan gangguan bekalan air.

“Insiden pencemaran ini adalah kali keempat bagi tahun ini melibatkan loji-loji utama terpaksa dihenti tugas dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar membabitkan kawasan yang luas,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Abdul Raof berkata, pihaknya sudah beberapa kali membawa isu pencemaran air mentah untuk perhatian pihak berkuasa kerana dibimbangi akan mengganggu bekalan air kepada pengguna jika isu berkenaan tidak dibendung.

“Unit Pasukan Pemantau Sungai Air Selangor (PASKAL) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan punca pencemaran yang berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota dan meminta pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan segera menghentikan pencemaran ini,” katanya.

Beliau berkata, tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan tidak dapat ditentukan buat masa ini serta bergantung kepada tahap pencemaran.

“Kami akan mengeluarkan hebahan dan makluman serta status terkini dari semasa ke semasa termasuk mengambil segala tindakan bagi mengurangkan impak gangguan kepada pelanggan.

“Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :