PBTSELANGOR

Sunway Good Run serikan Karnival 3W MPSJ

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kerjasama Sunway Group bakal menganjurkan Karnival 3W 2019 (Welness, Welfare & Women) pada 20 Oktober ini di Sunway Geo, Subang Jaya.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, karnival itu kan dirasmikan Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatasha Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“MPSJ menyambut baik saranan Kerajaan Negeri dan akan melaksanakan Karnival 3W di peringkat majlis dengan membawa tema ‘Kesihatan Mental dan Warga Emas’.

“Penganjuran karnival ini bagi menggalakkan serta membudayakan amalan gaya hidup sihat secara berterusan bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Subang Jaya Bilangan 9/2019 di Bilik Mesyuarat Kenanga, Ibu Pejabat MPSJ.

Katanya, beberapa agensi Kerajaan Negeri turut terlibat menjayakan karnival ini untuk memudahkan pengunjung merujuk permasalahan atau mendapatkan maklumat dengan lebih cepat.

“Menerusi karnival ini juga pelbagai bantuan akan dapat disalurkan terutama kepada golongan kurang berkemampuan dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) supaya kehidupan mereka lebih baik,” katanya.

Karnival di bawah kelolaan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga ini juga bakal diserikan dengan program Sunway Good Run.

Acara ini akan dimulakan dari jam 4.30 pagi dengan kategori larian sejauh 20km, 10km dan 5km.

Selain itu, pelbagai pameran dan aktiviti turut dianjurkan di ruang legar Sunway Geo seperti pertandingan sukan rakyat, sembang santai sihat, cabutan bertuah dan pemeriksaan kesihatan.


Pengarang :