AGENDANASIONAL

Syarikat anak tiri Najib terima US$9 juta daripada Jho Low

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Red Granite Pictures, syarikat produksi Hollywood yang menerbitkan filem The Wolf of Wall Street, milik Riza Shahriz Abdul Aziz, menerima US$9 juta (kira-kira RM38 juta) sebagai pendahuluan untuk mengeluarkan filem daripada Good Star Ltd, syarikat Jho Low.

Berdasarkan kepada dokumen yang dikemukakan dalam perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dinyatakan bahawa sejumlah US$9 juta dibayar kepada “Red Granite Productions, Inc.” melalui akaun di City National Bank Los Angeles.

Ia dinyatakan sebagai “pendahuluan bagi filem Wolf of Wall Street untuk ACHL” bertarikh 10 September 2012.

Perkara itu didedahkan di Mahkamah Tinggi di sini apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, disoal Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa pemeriksaan utama.

Sri Ram: Dokumen ini menunjukkan pemilik Good Star ialah Jho Low. Adakah kamu tahu mengenainya sebelum ini

Shahrol Azral: Saya tidak tahu.

Sri Ram: Semasa pendedahan mengenai 1MDB, adakah kamu terjumpa syarikat dengan nama Red Granite

Shahrol Azral: Ya. Saya membaca mengenai Red Granite.

Sri Ram: Apa yang kamu baca

Shahrol Azral: Ia merupakan pengeluar filem The Wolf of Wall Street. Red Granite yang menggunakan wang yang didakwa disalurkan daripada 1MDB.

Sri Ram: Itu satu dakwaan

Shahrol Azral: Ya.

Semasa merujuk kepada dokumen lain bertarikh 2011, Sri Ram menyoal Shahrol Azral sama ada beliau mengetahui tentang syarikat yang berpangkalan di California itu menerima sejumlah wang daripada Good Star melalui (syarikat perbankan swasta) RBS Coutts, yang dijawab saksi sebagai tidak tahu.

Sri Ram kemudian menunjukkan satu lagi dokumen bertarikh 10 September 2012, yang saksi maklumkan beliau tidak pernah melihatnya.

Sri Ram: (merujuk kepada dokumen) US$9 juta ke Red Granite daripada Good Star. Kamu nampak tak

Shahrol Azral: Ya.

Sri Ram menunjukkan dokumen lain kepada saksi berkaitan daftar ahli Red Granite yang menyatakan satu-satunya ahli syarikat itu ialah Riza Shahriz Abdul Aziz.

Sri Ram: Kamu tahu siapa dia

Shahrol Azral: Dia anak tiri Najib.

Sri Ram: Tetapi kamu tidak pernah melihat dokumen ini sebelum ini

Shahrol Azral: Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini.

Sri Ram: Sekarang saya tunjukkan satu lagi dokumen yang saya pasti kamu tidak pernah lihat. Ini merupakan daftar pengarah Red Granite. Ia menunjukkan Riza Shahriz Abdul Aziz sebagai pengarah tunggal.

Shahrol Azral: Ya.

Datuk Seri Najib Razak, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

-BERNAMA


Pengarang :