Mahdi Al-Hilmy Arshad
AGENSISELANGOR

Syarikat bukan bumiputera banyak mohon sijil halal

AMPANG, 25 SEPT: Potensi pertumbuhan produk halal syarikat bukan bumiputera berada pada momentum terbaik apabila 80 peratus permohonan pensijilan halal direkodkan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setakat ini.

Ketua Penolong Pengarah JAIS, Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, peratusan itu membuktikan kesedaran berkaitan halal bukan hanya daripada sudut kerohanian, malahan merangkumi keseluruhan aspek jaminan keselamatan dan kualiti sesuatu produk, seterusnya menepati konsep ‘halalan toyyiban’.

“Permintaan tinggi dari seluruh dunia terhadap produk halal yang kini mencecah hampir AS$2 trilion (RM7.97 trilion) juga membuka mata dalam kalangan pengusaha termasuk bukan Islam untuk memperoleh pensijilan halal.

“Dengan pensijilan halal ini membolehkan mereka untuk terus bersaing di pasaran bukan sahaja dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa,” katanya pada temu bual eksklusif bersama SelangorKini di seminar anjuran JAIS, De Palma Hotel, di sini, baru-baru ini.

Buat pertama kalinya, Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SIHC) menyaksikan kerjasama dua entiti iaitu JAIS dan Halal International Selangor (HIS) pada penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019, di bawah seliaan agensi penggerak pelaburan negeri, Invest Selangor Berhad.

Sidang kemuncak yang memasuki edisi ketiga itu dijadual berlangsung empat hari bermula 10 hingga 13 Oktober, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Mengakui perkembangan industri halal didorong peningkatan kesedaran dan pendidikan, Pengurus Pembangunan Perniagaan HIS, Mohd Hanafi Jamiat berkata, ia berlaku kerana masyarakat kini mementingkan produk halal yang mempunyai standard kebersihan serta kesucian yang tinggi.

Katanya, produk halal adalah sesuatu yang mempunyai kualiti, mutu dan prospek ekonomi bagi perspektif golongan bukan muslim,

“Potensi pertumbuhan produk halal bukan hanya terhad kepada pengguna Islam, tetapi semakin mendapat momentum dan penerimaan dalam kalangan pengguna bukan Islam kerana mereka kebiasaannya menganggap produk ini sudah melepasi pemeriksaan dan kawalan standard ketat.

“Mereka (bukan muslim) akan mengelakkan diri daripada makan makanan tidak sihat dan berlemak dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Sehingga kini, difahamkan negara bukan Islam masih menjuarai 10 tangga teratas sebagai pengeksport utama produk halal dalam pasaran halal global.

Negara terbabit adalah India, Brazil, Australia, Amerika Syarikat, Argentina, New Zealand, Thailand, Singapura, Filipina dan Perancis.

Malaysia dan Indonesia pula menjadi antara dua negara Islam utama di dunia yang berjaya menempatkan diri untuk menerajui sebahagian kecil pasaran halal global.


Pengarang :