Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Syed Saddiq bantah naik had umur bersara

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak bersetuju terhadap cadangan meningkatkan had umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun seperti dilakukan beberapa negara maju.

Katanya, kerajaan perlu memberi fokus kepada menyediakan peluang pekerjaan berkualiti untuk belia dan tidak menyekat potensi mereka.

Katanya, anak muda juga perlu diberi peluang seluas-luasnya untuk kenaikan pangkat berdasarkan merit bukan hanya faktor umur, selain memastikan masa depan mereka terjamin daripada segi peluang pekerjaan.

“Perbandingan dengan negara maju tidak tepat. Kadar pengangguran belia di Jepun adalah 3.4 peratus, Singapura 5.9 peratus dan Jerman 6.2 peratus.

“Di Malaysia, seramai 500,000 anak muda masih menganggur atau 10.7 peratus,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di akaun Twitternya, malam tadi.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia dilapor akan memperhalusi cadangan meningkatkan had umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun seperti dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini memohon kerajaan memperkenal pemberian COLA minimum RM500 kepada pekerja sektor swasta dan meningkatkan had umur persaraan kepada 65 tahun.


Pengarang :