EXCOSELANGOR

Tahun Melawat Malaysia 2020: Promosi nilai santun dan adab

SHAH ALAM, 17 SEPT: Rakyat Selangor disaran mempromosikan cara hidup yang dipenuhi nilai santun dan adab tinggi kepada pelancong luar sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kempen berkenaan adalah misi nasional dengan setiap rakyat berperanan menjadi ejen mempromosikan keunikan Malaysia di mata dunia.

“Selain mempromosikan lokasi dan makanan, kita boleh mempromosikan cara hidup rakyat negara ini kerana nilai itulah membuatkan kita bersatu padu walaupun terdiri daripada pelbagai kaum.

“Marilah sama-sama menjayakan usaha dan persiapan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan menjadikan negara ini lebih bersih, indah, berwibawa dan sejahtera. Bersedialah dari sekarang dan jadilah duta terbaik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Seni Budaya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di One City, baru-baru ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan serta hampir 500 peserta terdiri daripada penggiat seni, pelajar sekolah dan penuntut universiti.

Antara yang dipertandingkan pada acara itu ialah Pertandingan Teater Muzikal Aspirasi Kemerdekaan, Pertandingan Kebudayaan Warisan dan Pertandingan Muzik Kitar Semula.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, generasi masa depan tidak dapat mewarisi seni warisan budaya jika ia gagal disuburkan masyarakat hari ini.

Katanya, ia juga menjadi punca kepada golongan belia tidak dapat memahami perpaduan dan aprisiasi terhadap nilai seni budaya bangsa.

“Pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Selangor dan Persekutuan untuk memelihara budaya bangsa supaya ia sentiasa segar dan dikenali di seluruh dunia.

“Bahkan pendidikan terhadap budaya giat dijalankan di peringkat akar umbi bagi memastikan ia dapat diwarisi. Saya percaya masyarakat yang tidak mengamalkan budaya juga akan hilang identitinya.

“Oleh demikian, menjadi satu kerugian kepada rakyat Malaysia jika kita tidak menghargai budaya kerana budaya melambangkan bangsa,” katanya.


Pengarang :