BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANA

Tangguh roboh rumah ada pelajar ambil PT3, UPKK

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling pada 18 September 2019 (Rabu) bersama beberapa jabatan dan agensi yang lain iaitu Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, semua 8 PDT lain di Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor telah mengadakan tindakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu terhadap struktur yang berada di atas rizab Sungai Kedondong.

Tindakan operasi penguatkuasaan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah Kerajaan.

Tindakan penguatkuasaaan perlu dilakukan kerana tapak-tapak struktur ini terlibat dengan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong.

Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong merupakan projek infrastruktur bernilai RM5.93 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Seorang penduduk meninjau kawasan Sungai Kedondong, Paya Jaras bersama SelangorKini pada 20 September 2019 yang melibatkan struktur kediaman haram. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

 

Projek bertujuan menangani masalah banjir yang kritikal di Daerah Petaling dengan kekerapan banjir lebih 2 kali setahun.

Banjir akan terjadi apabila hujan lebat turun dalam tempoh 2 jam. Komponen utama projek ialah menaiktaraf Sungai Kedondong sepanjang 1.15 kilometer (km). Projek telah bermula pada 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017.

Walau bagaimanapun, projek mengalami kelewatan yang serius disebabkan adanya struktur yang menceroboh tanah Kerajaan.

Sehingga kini projek telah diberikan EOT sebanyak 2 kali iaitu:

i.  EOT 1 dari 1 Jun 2017 hingga 25 Julai 2018 (420 hari); dan
ii. EOT 2 dari 26 Julai 2018 hingga 18 September 2019 (420 hari).

Ekoran kelewatan perlaksanaan, projek ini telah diaudit dan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 dan telah dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember 2018.

Kelewatan perlaksanaan projek ini turut mengakibatkan bahan-bahan binaan seperti geotextile, erosion control blanket dan MSE wall system yang telah berada di tapak menjadi rosak kerana terbiar dan tidak digunakan.

Justeru, projek perlu dimulakan segera bagi mengelakkan lebih banyak kerugian dan agar ia dapat memberi manfaat penyelesaian banjir kepada penduduk di 4 buah kampung iaitu Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Paya Jaras Tengah, Kampung Paya Jaras Dalam dan Kampung Paya Jaras Hulu.

Penguatkuasaan yang dirancang dibahagikan kepada 2 komponen iaitu Plot A dan B (50 struktur) serta Plot C dan D (45 struktur).

Pengenalpastian struktur yang terlibat adalah setelah kerja-kerja pengukuran dibuat oleh jurukur tanah berlesen yang dilantik. Tiada sebarang struktur kediaman mahupun lain-lain di dalam tanah hakmilik (geran) yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan.

Sebelum tindakan operasi penguatkuasaaan dilakukan, PDT Petaling telah mengeluarkan notis sebanyak 2 kali kepada para pemilik struktur supaya mengosongkan tapak.

Notis pertama pada 12 Mei 2016 dengan tempoh 30 hari. Manakala notis kedua pula pada 5 Ogos 2019 dengan tempoh 30 hari. Notis kedua ini berakhir pada 4 September 2019.

Pada 3 Ogos 2019, semua 82 pemilik struktur yang terlibat telah ditawarkan pembelian Rumah Selangorku. Tawaran ini adalah hasil libat urus yang dibuat oleh PDT Petaling bersama YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Paya Jaras dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Berhubung pelaksanaan operasi, Pihak Berkuasa Negeri sebenarnya telah 3 kali menangguhkan operasi penguatkuasaan iaitu pada 20 Julai 2016, 22 Februari 2017 dan yang terkini operasi yang dijadual pada 5 September 2019 juga telah ditangguh.

Penangguhan kali ke 3 sehingga 16 September 2019 bertujuan memberi laluan kepada anak-anak yang menduduki peperiksaan UPSR dan juga sebagai memberi tambahan masa kepada penduduk untuk mengosongkan tapak secara sukarela.

Struktur kediaman di pinggir Sungai Kedondong, Paya Jaras ketika tinjauan SelangorKini pada 20 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Operasi penguatkuasaan pada 18 September 2019 adalah hanya di Plot C dan D melibatkan 45 struktur. Struktur ini terdiri daripada rumah kediaman, kedai runcit, bengkel dan garaj. Plot A dan B belum dibuat operasi penguatkuasaan dan dijangka dalam masa terdekat.

Oleh yang demikian, penduduk yang terlibat di Plot A dan B disaran untuk segera mengosongkan struktur bangunan masing-masing.

Semasa operasi penguatkuasaan di Plot C dan D, 24 struktur telah dikosongkan secara sukarela. Manakala 21 struktur yang lain tidak berbuat demikian.

Selaras dengan arahan Pihak Berkuasa Negeri, tindakan operasi penguatkuasaan telah menangguhkan struktur kediaman yang mempunyai anak-anak sedang menduduki peperiksaan. Status struktur pada akhir operasi di Plot C dan D ialah seperti yang berikut:

i. 36 struktur telah dirobohkan.

ii. 9 struktur ditangguhkan sehingga selesai peperiksaan UPKK dan PT3. Namun begitu, bancian di tapak mendapati daripada 9 buah struktur ini, 6 telah dikosongkan sendiri secara sukarela. Namun perobohan tidak dibuat kerana keadaan rumah yang berkembar dengan rumah yang mempunyai anak menduduki peperiksaan.

Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong ini amat penting bagi penyelesaian masalah banjir di kawasan Paya Jaras.

Hal ini mengambil kira kepesatan pembangunan semasa di kawasan Paya Jaras dan penduduk yang kian bertambah. Kejadian banjir bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda, malahan turut mengancam nyawa para penduduk yang terlibat.

 

Kenyataan media ini disediakan oleh Pentadbir Tanah Petaling, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling pada 20 September 2019.


Pengarang :