Pasukan perubatan anggota tentera ketika memberi rawatan awal kepada Mejar Mohd Zahir Armaya yang dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah pada 4 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TDM sahkan pengawainya tertembak ketika demonstrasi keupayaan tentera darat

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden kematian seorang pegawainya sewaktu demonstrasi keupayaan tentera darat ketika pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut kenyataan TDM, Mejar Mohd Zahir bin Armaya, 36, pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerakhas, Kem Sungai Udang, Melaka telah meninggal dunia dalam kejadian itu.

Allahyarham yang juga bapa kepada lima anak berusia antara sembilan tahun hingga lima bulan dan berasal dari Kuala Lumpur. Allahyarham juga anak kepada seniman A.R Badul.

Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menzahirkan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga wira negara itu serta menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan kepada TDM.

“Semoga keluarga Allahyarham reda dan sabar dengan ujian Allah. Saya menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid). TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun Allah lebih menyayangi beliau.

“TDM telah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :