– Foto vershina.energy
AGENDAGLOBAL

Tenaga boleh baharu: Firma Rusia tinjau peluang di Malaysia

PUTRAJAYA, 7 SEPT: Perniagaan projek tenaga Rusia, Vershina Development LLC sedang meninjau peluang berpotensi dalam tenaga boleh baharu di Malaysia khususnya di Perlis.

Ketua Pengarah, Pavel Shevchenko berkata, ia tepat pada masanya untuk Vershina Development mencari peluang di Malaysia susulan lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Rusia bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kali kelima di Vladivostok baru-baru ini atas jemputan rasmi Presiden Vladimir Putin.

“Lawatan Dr Mahathir akan menggalakkan lagi pelaburan dari Rusia dan begitu juga sebaliknya, di samping mewujudkan platform kepada syarikat Malaysia untuk mendapatkan perkongsian baharu dan potensi perniagaan di wilayah Timur Jauh,” katanya.

Beliau berkata, Vershina Development menumpukan pembangunan, reka bentuk, pembinaan dan pengurusan projek tenaga boleh baharu di Rusia dan luar negara.

Pihaknya bersedia membangunkan secara bersama projek di Malaysia dengan kepakaran, pembinaan dan pembiayaan yang dimiliki Vershina Development, katanya.

Sementara itu, CAG (M) Sdn Bhd, pemudah cara Malaysia bagi Vershina Development berkata Perlis menjadi antara lokasi yang menjadi pilihan memandangkan negeri itu menerima sinaran solar tertinggi di Malaysia.

Pengarah, Tan Lin Chung berkata, Perlis yang terletak di utara Semenanjung Malaysia adalah lokasi ideal bagi projek tenaga boleh baharu memandangkan ia juga dikenali sebagai negeri yang mencatatkan suhu panas tertinggi Malaysia.

Mengenai penyertaan Malaysia dalam EEF, beliau berkata ia akan menjadikan Malaysia terbuka untuk menerima pelabur berpotensi dari Timur Jauh selain membawa firma Rusia untuk berkongsi kepakaran serta pertukaran teknologi dan begitu juga sebaliknya.

EEF adalah forum antarabangsa tahunan untuk membincangkan prospek kerjasama ekonomi sejajar dengan perkembangan ekonomi pesat di Asia Timur, dan semakin mendapat perhatian antarabangsa.

Ia juga adalah landasan terbaik menyediakan lebih banyak perniagaan, pelaburan serta kerjasama baharu terutama dalam bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 demi kepentingan pembangunan ekonomi negara.

– BERNAMA


Pengarang :