AGENDANASIONAL

Tengku Permaisuri Selangor berkenan sertai ekspedisi jejak orkid liar

SHAH ALAM, 2 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyertai ekspedisi menjejak spesis orkid liar di Taman Negeri Selangor Bukit Fraser, baru-baru ini.

Pejabat Istana Selangor melalui kenyataan berkata, ekspedisi yang melalui Denai Mager sejauh satu kilometer itu diketuai Prof Rusea Go yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyelidikan orkid.

“Ketika ekspedisi itu, baginda turut diberi taklimat berhubung spesis orkid Vanilla Norashikiniana yang namanya dimasyhurkan oleh Permaisuri sendiri pada 3 November 2017.

“Spesis orkid baharu itu ditemui tidak berbunga pada 2013 di sebuah hutan simpan di Semenanjung Malaysia semasa ekspedisi botani oleh sekumpulan saintis botani Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Jabatan Perhutanan Selangor.

“Pokok orkid Vanilla Norashikiniana kemudian ditanam di nurseri UPM dan mula berbunga pada November 2014. Penyelidik mengambil masa hampir tiga tahun untuk mengesahkan penemuan spesis baharu itu,” kata kenyataan itu.

Selesai merentasi denai bagi melihat sendiri beberapa spesis orkid liar, baginda kemudian berkenan melakukan ‘walkabout’ di sekitar pekan Bukit Fraser dan beramah mesra dengan pelancong serta penduduk setempat.

Program Ekspedisi DiRaja yang julung kali diadakan di Selangor itu bertujuan mengumpul, mendokumentasikan serta menjalankan kajian saintifik ke atas kepelbagaian orkid, tumbuhan ornamental dan tumbuhan ubatan yang terdapat di Bukit Fraser serta Hulu Selangor.


Pengarang :