Damanhuri@Damanuri Rajali@Ali menerima anugerah disampiakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ketika Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Terap ajaran Islam, rahsia penerima Anugerah Keluarga Mithali

SHAH ALAM, 1 SEPT: Menerapkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian adalah antara rahsia kejayaan melayakkan Damanhuri@Damanuri Rajali@Ali, 78, menerima Anugerah Keluarga Mithali.

Damanhuri yang juga Hakim Tilawah Al-Quran peringkat Daerah dan Selangor berkata, beliau menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas penganugerahan itu.

“Ini semua rahsia Allah namun jika ditanyakan amalan, mudah sahaja iaitu kerjakan yang disuruhNya dan tinggalkan laranganNya.

“Malah, cara didikan saya dan isteri kepada anak-anak adalah berlandaskan syariat Islam. Selalu pesan supaya mereka menjaga solat dan amalkan membaca al-Quran,” katanya yang mempunyai 10 cahaya mata.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.

Damanhuri menerima anugerah Keluarga Mithali disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Damanhuri@Damanuri Rajali@Ali dan isteri, Siti Hasnah Mohd Dasuki bersama keluarga ketika Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, katanya, beliau dan isteri, Siti Hasnah Muhd Dasuki, 65, tidak pernah mengatur bidang untuk anak meneruskan pengajian sebaliknya sekadar menasihati apa sahaja dilakukan haruslah berbalik kepada agama Islam.

Berkongsi cabaran mempunyai anak ramai, katanya, beliau tidak pernah merasa terbeban sebaliknya bersyukur di atas kurniaan Allah yang tidak ternilai itu.

“Generasi muda masa kini jangan sesekali jadi munafik kerana golongan itu bila bercakap dia bohong dan bila diberi amanah dikhianati.

“Apa sahaja dilakukan janganlah hanya mengejar dunia sebaliknya kejarlah akhirat juga,” katanya yang dilahirkan pada 10 Mac 1941 di Tanjong Karang, Selangor.

Beliau sebelum ini berkhidmat selama 38 tahun dalam perkhidmatan kerajaan pernah menjawat jawatan selaku guru agama di Sekolah Agama Parit 7, Imam di Masjid Sultan Ibrahim Kuala Selangor dan Masjid Sultan Sulaiman Klang serta Imam Paduka di Istana Alam Shah sebelum bersara pada 2005.

Hasil perkahwinan bersama isterinya, mereka dikurniakan enam anak lelaki dan empat perempuan.

Pasangan itu berjaya mendidik anak mereka dengan pendidikan Islam serta dapat melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Menariknya, kesemua anaknya berjaya menjawat jawatan penting antaranya Pengurus, Jurutera, Eksekutif, Penyelia Guru dan Pegawai dalam sektor kerajaan juga swasta.


Pengarang :