Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Terap nilai kepelbagaian bangsa pada kanak-kanak, erat perpaduan kaum

SHAH ALAM, 11 SEPT: Asal-usul kepelbagaian bangsa di negara ini perlu diterapkan kepada kanak-kanak supaya semangat perpaduan dan sikap saling menghormati disemai pada usia muda.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, ini kerana anak kecil mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan dan keharmonian sejagat , seterusnya menyuburkan perasaan sangka baik, nilai hormat-menghormati serta kasih sayang sesama rakyat.

“Galakan ibu bapa sangat penting untuk memberi kefahaman kepada anak-anak, sekali gus dapat menjamin kemakmuran Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

“Saya mengharapkan sokongan berterusan dari semua pihak untuk memastikan pendidikan awal kanak-kanak mampu menjadi landasan yang teguh bagi melahirkan modal insan cemerlang di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Kids Parade Selangor sempena Sambutan Hari Malaysia, di Stadium Melawati, hari ini.

Kanak-kanak berbaris membentuk lakaran bendera Malaysia pada program Kids Parade Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 11 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Pada acara berkenaan seramai 2,019 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun menyertai perarakan serta membentuk Jalur Gemilang gergasi.

Pada masa sama, Masdiana berkata, program itu mampu memantapkan kemahiran kanak-kanak dari aspek akademi dan sahsiah.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong sebarang aktiviti dan menerima idea dari semua pihak untuk memperkasa pendidikan awal kanak-kanak di Selangor melalui perancangan program yang akan dilaksanakan nanti.

“Besar harapan supaya program ini mampu dijadikan sebagai landasan untuk memgukuhkan tali silaturrahim sekali gus menyemarakkan semangat kerajsama di kalangan ibu-bapa, pengusaha tadika, guru-guru dan Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :