PBTSELANGOR

Thailand juara ‘Best of The Best Team’ PJRC MBPJ 2019

PETALING JAYA, 18 SEPT: Thailand berjaya merangkul juara kategori ‘Best of The Best Team’ di kejohanan Petaling Jaya International RC Powerboat Championship (PJRC) 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula 12 September lalu.

Kejohanan yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Taman Tasik Bandaran, Kelana Jaya itu merupakan kejohanan kali ke-10 sejak diperkenalkan pada 2009.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, kejohanan itu mendapat penyertaan seramai 110 orang peserta.

“Peserta ini terdiri dari dalam dan luar negara iaitu Malaysia, Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia, Emirah Arab Bersatu (UAE), Brunei, dan Kuwait.

“Dalam kejohanan ini, sejumlah 490 bot bersaing dalam tujuh kategori yang dipertandingkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu secara tidak langsung mempromosikan Taman Bandaran Kelana Jaya sebagai lokasi sirkit (litar lumba) pertandingan atau demo sukan air.

“Selain itu, sukan ini juga sesuai dijadikan sebagai aktiviti riadah seisi keluarga,” katanya.

Tujuh kategori yang dipertandingkan itu adalah Class A: Catamaran /Tunnel Hull Above 44cc, Gasoline Engine Local Modified, Class D: Vee/Mono Hull 43cc and below, gasoline Engine Local Modified dan Class E: Vee / Mono hull imported Marine Gasoline Engine 26cc-28cc.

Selain itu, Class F: Catamaran /Tunnel Hull Imported Marine Gasoline Engine 26cc -28cc, Class G: Vee / Mono/Hull Imported Marine Gasoline Engine 29cc -31 cc, Class H: Catamaran /Tunnel Hull Imported Marine Gasoline Engine 29cc-31cc dan Class I: Rigger/Hidro Hull Imported Marine Gasoline Engine Open cc.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 bersama dengan trofi.

Manakala naib johan (RM1,500.00), tempat ketiga (RM1,000.00) dan kategori ‘Best of The Best Team’ (RM 500.00).

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Mohd Sayuthi dan hadir sama Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.


Pengarang :