AGENDANASIONAL

Tiada kompromi pihak bangkit isu sensitif-Muhyiddin

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu sensitif melalui penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat, namun maklumat yang dikongsi perlu disahkan kebenarannya.

Katanya, ia bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang menimbulkan fitnah dan kebencian sehingga menyebabkan rakyat merusuh.

“Terdapat garis yang halus antara kebebasan bersuara dengan ucapan yang menggalakkan kebencian dan keganasan,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Dalam hal itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dalam negara.

“Tindakan yang diambil perlu adil tanpa mengira siapa atau latar belakang individu yang cuba untuk memainkan isu sensitif dengan bertujuanmemporak-perandakan negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan khususnya KDN sedang berhadapan pelbagai isu terutama membabitkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R) yang disensasikan dengan tujuan untuk menggugat kerajaan baharu supaya dilihat tidak melindungi ketiga-tiga aspek berkenaan.

“Isu ini semakin hangat apabila tindakan kerajaan dipertikaikan seolah-olah kerajaan gagal melaksanakan fungsinya.

“Saya percaya peranan kita terutama warga KDN sangat penting bukan sahaja sebagai agensi penguat kuasa, malah berperanan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar,” katanya.

Katanya, dengan peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat daripada 86.3 peratus pada 2017 kepada 96.5 peratus pada 2018, penggunanya seharusnya lebih beretika dan bertanggungjawab.

Muhyiddin berkata, pengguna diingatkan supaya tidak menyalahgunakan landasan itu untuk memanipulasi maklumat, menularkan berita palsu dan fitnah yang hanya akan mengelirukan pemikiran masyarakat.

Berhubung pencapaian KDN, beliau berkata, kementerian itu mencapai penarafan lima bintang dalam prestasi pengurusan kewangan dengan skor 94.84 peratus pada 2018 berbanding 88.38 peratus pada 2017.

Katanya, KDN juga mencapai tahap cemerlang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan, iaitu kekal lima bintang dari tahun 2018.

Dari segi pencapaian setengah tahun Indikator Prestasi Menteri 2019 pula, KDN mencapai 90.80 peratus sehingga 30 Jun lalu, katanya.

“Daripada 27 aktiviti yang ditetapkan, 20 aktiviti yang melebihi 80 peratus dan lima aktiviti berada di antara 50 hingga 70 peratus dan dua aktiviti hanya akan dinilai pada penghujung tahun,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau percaya semua Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan pada tahun ini akan dapat dicapai seperti disasarkan berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :