AGENSISELANGOR

Tiada laporan penyakit akibat jerebu diterima

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kerajaan Negeri belum menerima sebarang laporan berkenaan kes penyakit yang berpunca daripada jerebu di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah pencegahan awal dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan jika ada laporan penyakit yang berpunca daripada jerebu.

“Sehingga kini belum ada laporan daripada jabatan kesihatan berhubung penyakit yang berpunca daripada jerebu yang kita terima,” katanya.

Katanya,  EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud akan memantau perkara itu dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, Amirudin berkata, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar atau memakai penutup mulut jika berada di luar rumah dalam tempoh yang lama.

“Sejak tiga minggu lalu, saya mengingatkan orang awam untuk menjaga kesihatan masing-masing kerana jerebu sedang melanda negeri ini.

“Mereka yang mempunyai simptom seperti batuk diminta membuat rujukan ke klinik atau hospital berhampiran untuk rawatan,” katanya.

Menurut Laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia dicatatkan 236, Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).


Pengarang :