AGENDANASIONAL

Tiga lagi lokasi di Sarawak capai IPU sangat tidak sihat

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Tiga lagi lokasi di Sarawak terkesan dengan keadaan jerebu ketika ini, menjadikan keseluruhan lima kawasan di negeri berkenaan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 11 malam tadi, ketiga-tiga lokasi yang menunjukkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat ialah Sibu (206), Sarikei (206) dan Samarahan (209).

Bacaan IPU ketiga-tiga kawasan itu berada dalam keadaan tidak sihat setakat 6 petang semalam, selain Sri Aman (228) dan Kuching (236) yang masih menunjukkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, manakala tiga lagi lokasi di seluruh negara turut berada pada tahap sama iaitu Johan Setia Klang (244), Balik Pulau (241) dan Minden (213).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan malam tadi, memaklumkan sebanyak 2,459 sekolah ditutup hari ini melibatkan keseluruhan 1,732,842 pelajar di enam negeri dan dua wilayah persekutuan.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, dalam kenyataan pula, memaklumkan penangguhan program Sambutan Minggu Perpaduan 2019 yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Dataran Merdeka ekoran keadaan jerebu yang mencatat bacaan IPU yang sangat tidak sihat di ibu negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Dr Siti Zaharah Ishak menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dalam keadaan jerebu bagi mengelakkan kemalangan.

“Pakai pakaian yang berwarna terang atau jaket pemantul cahaya ketika menunggang (motosikal), berhenti di tempat yang selamat seperti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau di tempat yang dikhaskan untuk berhenti sekiranya tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

“Pejalan kaki pula perlu sedar bahawa pemandu atau penunggang (motosikal) mungkin tidak dapat melihat mereka. Justeru, pejalan kaki disaran untuk peka terhadap keadaan sekeliling dan hanya melintas di tempat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA


Pengarang :