BERITA UTAMA

Timbalan Menteri JPM meninggal dunia akibat serangan jantung

PONTIAN, 21 SEPT: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, meninggal dunia sekitar 6 pagi tadi di Hospital Pontian, dekat sini.

Pemergian Ahli Parlimen Tanjung Piai itu disahkan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mohd Solihan Badri.

“Beliau yang dimasukkan ke hospital pagi tadi, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya ketika dihubungi Bernama, sebentar tadi.

Md Farid, 42, merupakan Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke rumah ibunya di Serkat, Pontian untuk dikebumikan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan sebelum Zohor, kata Mohd Solihan.

Md Farid memenangi kerusi parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan memperolehi 21,255 undi.

-BERNAMA


Pengarang :