AGENDANASIONAL

Tol persimpangan bertingkat Bandar Gamuda Cove bermula 11 malam ini

DENGKIL, 6 SEPT: Pembukaan dan kutipan tol Persimpangan Bertingkat Bandar Gamuda Cove, yang terletak di KM26.70 Lebuhraya ELITE, di sini akan bermula 11 malam ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, dengan adanya persimpangan bertingkat yang menelan kos pembinaan RM150 juta itu, kemajuan kawasan sekitar dapat dijana selain menghubungkan penduduk Dengkil dengan kawasan seperti Sepang, Putrajaya dan Cyberjaya.

“Dengan perancangan infrastruktur dan pembinaan persimpangan bertingkat baharu di jajaran lebuh raya sedia ada, kawasan yang sebelum ini dianggap jauh kini semakin mudah untuk dikunjungi,” katanya ketika berucap merasmikan persimpangan bertingkat itu di sini, hari ini.

Persimpangan Bertingkat Bandar Gamuda Cove itu yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan terletak di antara Persimpangan Bertingkat Putrajaya dan Persimpangan Bertingkat KLIA serta dilengkapi dengan plaza tol berkapasiti 12 lorong.

Katanya, kemudahan sedemikian membuka peluang kepada pemaju-pemaju hartanah di Malaysia untuk meneroka kawasan di pinggir bandar raya untuk membangunkan perbandaran baharu yang mempunyai jaringan hubungan yang baik dengan pusat bandar raya dan bandar-bandar lain.

Beliau berkata, dengan lebuh raya, pertumbuhan kawasan-kawasan sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.

“Malah kajian membuktikan bahawa kawasan yang dilengkapi dengan akses terus ke lebuh raya seperti persimpangan bertingkat telah mencatatkan kadar pertumbuhan yang drastik dan lebih cepat berbanding kawasan-kawasan lain.

“Apabila akses antara satu tempat dengan tempat yang lain bertambah baik, ia pasti memberi kesan berganda terhadap pelbagai program pembangunan hartanah, perindustrian dan perbandaran. Secara tidak langsung, ia memberi kesan signifikan kepada sumbangan langsung kepada masyarakat setempat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :