AGENDANASIONAL

TPM bimbang masyarakat ketagih gajet

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan kebimbangan dengan sikap masyarakat yang dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.

Timbalan perdana menteri berkata, bagaikan sudah menjadi satu lumrah apabila melihat sekelompok remaja atau sekumpulan dewasa terdiri daripada rakan taulan atau keluarga yang duduk bersama namun tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

“Situasi begini jelas menceritakan bahawa mereka lebih selesa untuk berkongsi dan bertukar maklumat serta meluahkan perasaan di alam siber berbanding di dunia realiti.

“Lebih membimbangkan lagi apabila kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun telah mula bermain gajet atau peranti digital seperti tablet dan telefon pintar, seolah-olah peralatan ini menjadi peneman atau pengasuh selain ibu bapa dan penjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Produktiviti Bersama Komuniti dan pelancaran Buku Panduan AWASpada (Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian), di sini hari ini.

“Ibu bapa harus sedar bahawa gajet bukanlah ‘pengasuh’ kedua untuk anak-anak mereka. Berkomunikasi bersemuka adalah lebih baik berbanding anak-anak dibiarkan bersendirian merenung imej ataupun animasi di skrin tablet,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah kementerian itu mengadakan pelbagai program bagi menggalakkan ibu bapa dan keluarga bijak menggunakan gajet dalam berkomunikasi dan meningkatkan hubungan kekeluargaan.

Timbalan perdana menteri berkata, masalah ‘digital drug’ (dadah digital) berlaku apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.

Katanya, satu kajian menunjukkan bahawa penggunaan internet yang ekstrem melebihi enam jam sehari memberi kepuasan dan kesejahteraan hidup yang rendah berbanding penggunaan internet yang sederhana selama satu hingga dua jam sehari.

Merujuk kepada Kajian Pengguna Internet 2018 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pula, beliau berkata ia mendapati purata tempoh melayari internet di Malaysia adalah 6.6 jam sehari, dengan 93.1 peratus pengguna mengakses internet melalui telefon pintar.

Timbalan perdana menteri berkata penggunaan internet yang ekstrem boleh mengakibatkan penggunanya menjadi ketagih sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental.

-BERNAMA


Pengarang :