Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) menenangkan anak-anak Allahyarham Datuk Engku Hamzah Tuan Mat ketika menziarah jenazah beliau di Surau Al-Falah, Sungai Ramal Dalam pada 30 September 2019. Foto BERNAMA
NASIONAL

TPM: Engku Hamzah berdedikasi, berintegriti tinggi

KAJANG, 30 SEPT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan Allahyarham Datuk Engku Hamzah Tuan Mat sebagai seorang individu yang berdedikasi dan berintegriti, dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, walaupun mengenali Allahyarham dalam tempoh yang singkat, namun beliau amat mengagumi Engku Hamzah kerana beliau seorang contoh penjawat awam yang berdedikasi, serta komited dalam menjalankan tugasnya.

“Allahyarham seorang yang baik hati dan bersifat rendah diri, berdedikasi serta komited terhadap tugasnya sebagai penjawat awam.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin. Kita tahu pemergian beliau secara mengejut, perasaan sedih yang dirasai keluarga sangat mendalam, saya berharap mereka bersabar dan reda,” katanya kepada pemberita di sini.

Dr Wan Azizah turut menunaikan solat jenazah Allahyarham Engku Hamzah pada pagi ini berkata, beliau terkejut dan bersedih dengan pemergian Allahyarham yang meninggal dunia, petang semalam.

Allahyarham berusia 60 tahun meninggal dunia di Hospital Serdang (HS) kira-kira jam 7.30 malam tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rohana Che Hassan serta seorang anak lelaki dan dua perempuan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau turut berasa sedih atas pemergian seorang sahabat karibnya yang disifatkan seorang yang berintegriti serta berkredibiliti dalam menjalankan tugas di MKN.

Beliau berkata, MKN kehilangan seorang ketua yang berdedikasi serta komited, selain merupakan seorang individu yang mudah didekati perlu menjadi contoh kepada penjawat awam.

“Saya sangat terkejut dengan berita pemergian Allahyarham semalam. Saya bersahabat baik dengannya, kami sering berhubung bagi berbincang soal kerja, masalah rasuah dan penyelewengan.

“Beliau seorang yang bersih daripada masalah rasuah atau penyelewengan. Engku Hamzah sangat berintegriti tinggi,” katanya kepada Bernama di kediaman Allahyarham di Taman Ramal Suria, Sungai Ramal, Kajang.

Abdul Hamid berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan Engku Hamzah ketika Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada awal bulan ini.

“Kali terakhir saya bertemunya, beliau tidak memberi tahu tentang masalah kesihatannya tetapi memaklumkan kepada saya yang beliau tidak sabar untuk bersara iaitu pada bulan depan,” katanya.

Turut hadir menziarahi Allahyarham adalah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang pagi ini.

– BERNAMA


Pengarang :