AGENDAGLOBAL

Trak pikap terbabas ragut nyawa 17 pelajar kolej

BANGKOK, 29 SEPT: Seramai 17 pelajar kolej terbunuh dan seorang pemandu mengalami kecederaan serius selepas sebuah trak pikap yang membawa muatan berlebihan terbabas sebelum terbalik di King Kaew Road, Bang Phli, Wilayah Samut Prakan, di sini, awal pagi ini.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 1 pagi semasa pelajar-pelajar dari Si Sa Ket Technical College itu sedang dalam perjalanan balik ke apartment mereka.

Jurucakap polis, Lt Kol Samran Chuaythao berkata, menurut saksi trak itu dilihat dipandu laju di jalan berkenaan sebelum ia tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke bahagian pejalan kaki dan merempuh dua tiang lampu dan terbalik.

“Seramai 12 pelajar terbunuh di tempat kejadian dengan mayat mereka bergelimpangan di jalan itu akibat impak kuat kemalangan, manakala lima lagi meninggal dunia di Chularat 9 Hospital akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pemandu trak berkenaan mengalami kecederaan serius dan kini menerima rawatan di hospital.

“Polis sedang memerika semua rakaman CCTV di kawasan berkenaan untuk menyiasat punca kejadian,” tambahnya.

Pelajar-pelajar kolej Si Sa Ket Technical itu dikatakan baru tamat menjalani latihan kerja di sebuah garaj di King Kaew, Bang Phli District, dekat Bangkok, dan dalam perjalanan pulang selepas meraikan hari terakhir latihan mereka.

– BERNAMA


Pengarang :